Remaja dijatuhi hukuman 150 jam khidmat komuniti
Tuesday, October 20th, 2009
KANGAR 19 Okt. — Seorang remaja hari ini dijatuhi hukuman 150 jam khidmat komuniti dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Trafik di sini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya sehingga mendatangkan kecederaan parah kepada seorang anggota polis trafik.
Keputusan dibuat Majistret Mohd. Fadhly Yaacob, selepas mengambil kira kesalahan dilakukan Aizat , 21, dari Jalan Sekolah Derma, di sini, 5 Ogos 2007, yang dianggap serius.
“Kesalahan dilakukan kamu serius kerana melanggar anggota polis yang sedang bertugas. Kalau tidak ambil kira umur kamu 19 tahun ketika itu (kejadian) kamu sudah pasti dipenjara atau didenda,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan bapa remaja itu menyediakan bon RM5,000 sebagai jaminan tertuduh berkelakuan baik selama tempoh setahun.
Aizat yang diwakili peguam Pyara Singh ketika membuat pengakuan bersalah berkata, beliau insaf atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya. – Bernama
